SMK TAMAN INDAH MENUJU KELAS DUNIA...SMKTI KEBANGGAN KAMI..CEMERLANG SMKTI!! ORANG YANG CEMERLANG MELIHAT SETIAP HALANGAN SEBAGAI PELUANG UNTUK MENGASAH POTENSI, MANAKALA ORANG YANG TIDAK CEMERLANG MENGANGGAP SETIAP HALANGAN SEBAGAI ALASAN YANG MENYEBABKAN KEMUNDURANNYA..JADILAH ANDA SEORANG YANG BERFIKIRAN CEMERLANG....!

Ahad, 14 Februari 2010

14. Kenali Aspek Positif Pelajar Kurang Disiplin

PELAJAR bermasalah disiplin sering mencabar kewibawaan dan kesabaran guru. Malah kajian menunjukkan ia antara punca utama yang menyumbang kepada tekanan emosi dan tragedi burnout dalam kalangan guru. Banyak kajian dilakukan untuk meneliti punca kepada masalah ini seperti masalah keluarga yang mendorong kepada hilangnya motivasi untuk belajar, pengaruh persekitaran dan juga keciciran dalam pelajaran.
Keciciran juga menyumbang kepada hilangnya minat belajar. Ekoran sukar memahami dan mengikuti pelajaran, pelajar bertingkahlaku provokatif demi mendapat perhatian guru dan rakan lain. Oleh kerana pelajar sebegini memberikan cabaran kepada guru, secara tidak langsung pelajar ini dilabelkan sebagai pelajar bermasalah disiplin. Dengan melabelkannya bermasalah, pemerhatian kepada pelajar sebegini adalah lebih terarah kepada ciri negatif.
Jarang sekali (barangkali tiada) kajian dan penulisan yang cuba meneroka mengenai ciri positif yang dimiliki pelajar bermasalah.Paradigma positif dalam melihat masalah tingkah laku remaja dilinkuensi berkembang pesat di negara Barat. Paradigma ini amat penting,ia menyentuh mengenai aspek positif yang perlu diperkayakan sejajar serta mengubah orientasi tingkah laku negatif ke arah yang lebih positif.
Ia bukan bererti mendesak remaja menghentikan tingkah laku secara paksa, tetapi ia lebih bersifat kepada pemahaman kepada tingkah laku itu wajar dibuat perubahan dan penambaikan .Umpamanya, pelajar berpakaian pelik dan berpeleseran di pasar raya sebenarnya mewakili tingkah laku tipikal remaja iaitu mahukan perhatian masyarakat. Atas keadaan inilah di negara Barat, aktiviti seperti ratu kolej dijadikan keadah untuk mengubah orientasi , iaitu kaedah ini dilihat tidak begitu sesuai dengan budaya kita . Namun , secara konsepnya ia boleh dipertimbangkan terutama dengan mengadakan aktiviti pertandingan fesyen remaja yang diperagakan patung(sekadar contoh).
Tersedar dengan keadaan ini , penulis menghampiri, menemubual dan membuat pemerhatian terhadap pelajar sekolah menengah yang boleh dikategorikan dalam kumpulan ini. Pemerhatian ini dilakukan selama tiga bulan iaitu sebagai daripada aktiviti penting penyelidikan tahap pascasiswazah.
Aspek positif yang paling ketara sekali diperhatikan dalam kumpulan pelajar seperti ini ialah kepimpinan dan pengurusan. Pelajar bermasalah disiplin lazimnya mempunyai kumpulan rakan sebaya yang mempunyai minat dan berkongsi pandangan hidup (worldview) yang hampir sama. Mereka melihat sekolah sebagai satu tempat bersosial yang menemukan mereka dengan pelbagai kategori pelajar lain. Sekolah juga adalah satu tempat untuk melupakan seketika tanggungjawab dalam keluarga. Mereka tidak perlu bertanggungjawab ke atas ahli keluarga lain dalam melakukan aktiviti serta mempnyai kebebasan untuk menentukan jenis makanan yang diperlukan. Sekolah juga menyediakan kawasan yang lebih lapang bagi pelajar yang tinggal di rumah flat.
Faktor tolak-tarik ini dikongsi pelajar bermasalah disiplin. Lazim diperhatikan mereka juga mempunyai kelemahan dalam akademik. Maka, apabila mereka bosan di bilik darjah , mereka akan mengatur strategi untuk keluar kelas ke beberapa tempat strategik yang hanya kumpulan mereka sahaja yang mahir. Tempat yang paling kerap dikunjungi ialah tandas. Lazimnya juga ialah terdapat seorang ketua yang menjadi pemimpin kepada kumpulan pelajar ini. Ketua ini bukanlah lantikan secara undian, tetapi ia berlaku secara tidak langsung iaitu menerusi kredibiliti kepimpinan yang ditonjolkan . Ketua ini juga disukai dan diyakini ahli lain.
Dalam satu pemerhatian di sebuah sekolah sekitar Kuala Lumpur, penulis terserempak dengan sekumpulan pelajar bermain bola tin (menyepak tin biskut) di dewan terbuka sekolah . Suasana agak bising tetapi tiada guru yang melintas di kawasan itu. Penulis meminta seorang pelajar yang disyaki ketua kepada pelajar ini supaya menghentikannya. Ketua pelajar ini hanya menggunakan bahasa isyarat bagi menghentikan aktiviti mereka, lantas mereka beredar dengan senyuman. Mereka kelihatan bangga kerana aktiviti mereka disedari dan diberi perhatian penulis. Keadaan ini adalah suatu yang biasa di sekolah. Ia menjelaskan bahawa pelajar sebegini memiliki kemahiran kepimpinan dan pengurusan yang baik. Ia berupaya mengurus pergerakan ahli mereka dengan baik.
Kemahiran sebegini terbentuk hasil daripada latihan yang panjang. Oleh kerana mereka kerap berkonflik nilai dengan masyarakat , mereka kerap berhadapan dengan teguran orang dewasa.Adakalanya konflik ini dapat diselesaikan dan adakalanya bertukar menjadi keadaan yang tidak terkawal. Walau bagaimana cara sekalipun, ia sebenarnya latihan kepada ketua kumpulan untuk mengawal ahli mereka.Uniknya pelajar sebegini ialah kerana mereka mencabar peraturan sekolah tetapi mampu akur kepada peraturan kumpulan rakan sebaya mereka. Oleh sebab itulah apabila operasi menangkap pelajar yang ponteng sekolah,lazimnya menemui pelajar dalam dalam kelompok kumpulan mereka. Situasi ini kerap dinilai daripada perspektif negatif yang akhirnya menghilangkan ciri positif yang ada pada pelajar sebegini.
Negatifnya tingkah laku pelajar ini ialah bersangkutan dengan orientasi kepimpinan yang mengarah kepada aktiviti tidak sihat. Positifnya ialah kemahiran mengurus tingkah laku kumpulan mereka . Walaupun aspek positif ini disedari pihak sekolah, namun tiada penyelidikan konkrit dilakukan untuk melihat bagaimankah orientasi kepimpinan secocok dengan pelajar sebegini. Lazimnya sekolah mengambil langkah dengan memberi tanggungjawab tertentu kepada pelajar terbabit termasuk sebagai pengawas sekolah.
Ada juga sekolah yang menggunakan model Rakan Cop iaitu dengan menjadikan pelajar sebagai rakan kepada saluran maklumat bagi penyelesaian masalah disiplin. Semua ini dilakukan sekolah di atas andaian bahawa kemahiran kepimpinan ini dapat disalurkan ke arah yang lebih bermakna menerusi platform sebagai pengawas dan juga 'rakan guru disiplin'. Biarpun terdapat maklumat yang banyak terhadap pelajar sebegini dikumpul unit disipli dan unit bimbingan dan kaunseling ; namun analisis akademik berasaskan model kepimpinan dan perubahan tingkah laku tidak dilakukan dengan terperinci.Maka, apabila pelajar bermasalah disiplin tetap dengan aktiviti mereka,kita akan mula melabelkan mereka degil; walhal sejauh mana kita membuat kajian terperinci tidak diketengahkan. Sehubungan itu, aspek positif yang ada pada pelajar ini mungkin dikembangkan menerusi sokongan latihan oleh kumpulan negatif di luar sekolah yang memang menantikan peluang keemasan ni.
Oleh kerana pelajar bermasalah disiplin kerap dirujuk kepada unit disiplin dan unit bimbingan dan kaunseling, pelajar ini dilihat mahir berinteraksi . Interaksi - bukan sekadar kecekapan berkomunikasi tetapi kemahiran pertukaran maklumat, penyaluran mesej, pembuatan justifikasi, pembuatan keputusan dan pengambilan risiko. Pelajar inimempunyai alasan yang konkrit untuk digunakan sebagai hujah balas apabila disoal siasat kumpulan guru berbeza. Guru kaunseling yang lebih tegas dan menggunakan pendekatan soal siasat ala kepolisan mendorong pelajar lebi suka mendiamkan diri dan memberi reaksi minimum kepada prosedur penyiasatan.
Apabila disoal-siasat guru kelas ,pelajar ini mengemukakan banyak hujah yang kadang-kala membuatkan guru kelas hilang sabar. Apabila dirujuk kepada kaunseling, pelajar ini bersedia dengan jawapan yang disediakan rakan mereka yang melalui proses ini. Semua ini adalah satu latihan informal yang tidak dapat diajar dalam sukatan sekolah tetapi ia berlaku secara interaks berkesan antara mereka. Ia juga berlaku berulang kali. Mereka juga mahir dan menjangkakan bentuk hukuman akibat daripada tingkah laku mereka, termasuk hukma rotan akibat merokok di kawasan sekolah.
Kebanyakan kumpulan pelajar sebegini didominasi lelaki. Ia satu trend dunia dikebanyakan negara selruh dunia. Oleh kerana pelajar ini seumpama ini popular di sekolah (dalam kumpulan yang memberikan masalah kepada sekolah), maka mereka menjadi perhatian kepada pelajar perempuan. Secara tidak langsung,wujudnya interaksi dengan pelajar perempuan dengan kumpulan ini terutama dalam soal cinta remaja. Sekaligus, melatih kemahiran interaksi berlainan jantina. Pada masa sama, pelajar ini juga mempunyai jaringan sosial di luar kawasan sekolah yang membantu mereka dalam menjayakan aktiviti tertentu dalam menjayakan aktiviti ponteng dan pembelian rokok. Jaringan sosial ini berlaku kerana berlakunya interaksi berkesan dengan komuniti yang mereka pilih . Dalam kes yang lebi ekstrem, pelajar berkenaan turut menerima latihan interaksi yang lebih formal iaitu dengan agensi pihak berkuasa termasuk polis.Situasi informal seperti ini melatih kemahiran interaksi yang tidak diperolehi pelajar yang tekun dalam pelajaran.
Oleh kerana kumpulan ini yang kebanyakannya didominasi pelajar yang lemah dalam pelajaran mereka, aspek positif ini hendaklah diberi perhatian oleh pihak sekolah dan juga ibubapa. Kemahiran interaksi ini perlu diperkaya dan disalurkan ke arah yang betul. Tambahan pula, kita sedar tidak semua pelajar mempunyai keupayaan kognitif yang sama serta tidak semua pelajar datang daripada latar belakang yang sempurna.
Kemahiran generik yang diperoleh menerusi aktiviti yang dikluster sebagai tidak sihat ini wajar dianalisis menggunakan paradigma positif.Dengan mengenalpasti aspek positif dalam kalangan pelajar yang dilabelkan sebagai bermasalah, guru sebagai profesional dalam pendidikan pastinya mengerti strategi terbaik bagi membangunkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi emosi, rohani, intelek dan jasmani sebagaimana dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
(Teks oleh: Mohd Mahzan Awang(Universiti Dundee, UK)/Majalah Pendidik/Bil.68/Januari 2010/hal.53-55).

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah, akhirnya saya berjumpa dengan blog Tuan yang sangat informatif. Saya ingin mendapat keizinan daripada pihak tuan untuk berkongsi softcopy untuk Manual Sekolah Selamat kerana saya rasa isinya telah dipermudahkan dan corak dokumentasi sangat menarik. Saya dalam usaha ingin mengambil model yang baik untuk dijadikan panduan dalam menjalankan dan memantapkan lagi program sekolah selamat di sekolah saya terutama daripada segi dokumentasi. Harap tuan dapat berkongsi bahan ini dan menghantar ke email saya mulin78@yahoo.com

    Sekian Terima Kasih

    Pn. Haslinda Mat Jais
    GBKSM SMK Kajang Utama

    BalasPadam