Ada pepatah mengatakan bahawa, " Untuk berjaya adalah sukar." Tetapi, untuk mempertahankan kejayaan di puncak adalah jauh lebih sukar .
Kita sedia maklum bahawa pelbagai rintangan dan halangan akan kita tempuh dalam perjalanan mencapai apa sahaja kejayaan yang diimpikan. Ia adalah lumrah hidup untuk menembusi segala halangan dan rintangan sebelum mencapai sebarang kejayaan.
Namun, apabila sampai ke puncak kejayaan, bukan semuanya menjadi mudah. Ada kalanya ianya menjadi sukar untuk menahan posisi kita di puncak kejayaan.
Mungkin anda pernah mendengar kisah iaitu apabila seseorang itu berjaya nanti, ada pula pihak lain yang akan iri hati dan cuba menjatuhkan orang tersebut. Hendaknya, kita dijauhkan daripada musibah seperti ini. Namun hakikatnya, ada kalanya dan sering kali juga ia berlaku.
Apabila telah mencapai kejayaan, seseorang itu pasti akan menarik tumpuan orang ramai.Kebanyakkannya akan menyokong dan merestui kejayaannya. Tetapi, ada segelintir yang tidak senang dengan pencapaian tersebut.
Sejarah silam menunjukkan perkara sebegini memang berlaku.Beratus ribu rakyat India mencintai Gandhi, beribu juga yang membencinya. Beratus ribu rakyat menyukai seseorang pemerintah, beribu pula pembangkang yang membencinya. Seorang penyanyi yang mempunyai ribu peminat setia, pasti sahaja mempunyai beribu yang tidak menyukainya.
Apabila anda berjaya, pasti ada segelintir insan yang tidak senang dengan kejayaan anda. Di sinilah rintangan dan halangan yang lebih besar perlu anda tempuhi.
Namun berita baiknya adalah , dalam perjalanan mencapai kejayaan, pelbagai rintangan yang kita lalui akan kita harungi dengan semangat yang kuat. Ilmu dan pengalaman kita dalam harungi rintangan dan halangan ini akan menguatkan diri kita dalam menangani halangan dan rintangan apabila berjaya kelak. Sebab itu, perjalanan mencapai kejayaan adalah perjalanan memantapkan lagi diri kita untuk mencapai halangan yang menunggu di mercu kejayaan..
Bersyukur kiranya ada yang iri hati.......
Ada masanya kita akan bertemu golongan yang iri hati dengan kejayaan kita..Nasihat saya adalah bersyukurlah sekiranya ini terjadi. Beryukur ?? Kenapa ?
Pertama sekali, ketahuilah bahawa sekiranya ada orang iri hati dengan kita, ia adalah tanda-tanda awal bahawa kita sudah keluar daripada kepompong kesederhanaan .Di dunia, hanya 5% sahaja masyarakat yang berusaha keluar daripada kepompong kesederhanaan , 95% akan berasa selesa dengan keadaan sementara . Tiada masalah sekiranya anda, tetapi , yang menjadi masalah ialah golongan yang tidak selesa dengan mereka yang 5% tersebut.
Kedua, Tuhan Maha Adil. Lebih banyak dugaan yang perlu anda lalui, lebih banyak pahala dan pulangan yang anda akan terima sekiranya dapat menangi segala dugaan tersebut dengan penuh kesabaran. Segala dugaan adalah untuk anda memperkuatkan lagi rohani anda untuk dunia dan juga akhirat.
Survival Instint
Ketiga, ketahuilah bahawa manusia mempunyai sistem motivasi automatik yang dikenali sebagai survival instinct. Misalnya ialah sekiranya seseorang itu dicampakkan ke sebuah pulau yang tidak mempunyai penduduk, survival instinct individu itu akan berusaha mencari makanan daripada buah-buahan, ikan di laut , menadah air hujan untuk minuman serta membina tempat berteduh daripada ranting-ranting dan daun-daun. Kita sedia maklum keadaan ini melalui filem-filem di layar perak.
Konsep survival instint berkesan apabila keadaan kita menjadi tertekan. Apabila ada pihak yang iri hati dan cuba untuk menjatuhkan kejayaan kita, survival instint akan aktif dan fikiran kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menangani apa jua rintangan. Semangat kita akan menjadi lebih membara dalam mengharungi apa sahaja cabaran. Jiwa kita akan tersentuh dan memberi semangat untuk membuktikan kejayaan kita, sekali gus membuktikan kepada mereka yang ingin melihat kita gagal itu, bahawa tanggapan mereka sebenarnya salah.
Sebab itu juga, sering kita dengar kisah-kisah kejayaan mereka yang kaya raya bermula daripada kemiskinan. Mereka yang asalnya hidup dengan susah dan kemudian berusaha untuk memperbaiki diri dan keluar daripada kesusahan itu. Survival instint memainkan peranan dalam keadaan tertekan !!
Apabila anda dalam perjalanan untuk mencapai kejayaan cemerlang, ketahuilah bahawa rintangan-rintangan sebegini memang wujud. Bukan untuk menakut-nakutkan anda mengenai kejayaan, tetapi sekadar berpesan supaya anda bersedia menanganinya.
Inverse Paranoid
Kini, anda telah mengetahui keadaan ini. Terdapat satu konsep kejayaan yang sering digunakan oleh mereka yang berjaya iaitu inverse paranoid.
Paranoid bermaksud kita sering gelisah dan risau tentang keadaan sekeliling. Sebagai contoh, kita risau untuk berjaya oleh kerana takut nanti ada pula pihak yang akan menjatuhkan kita. Kita risau untuk berjaya kerana takut ada yang akan mengkhianati kita. Kita risau untuk berjaya kerana takut kita akan rebah dan jatuh semula.
Tetapi , konsep inverse paranoid pula bermaksud, untuk kita sering fikirkan bahawa orang ramai mahu kita berjaya, orang ramai akan membantu kita untuk berjaya dan orang ramai akan sedaya upaya menyokong kita untuk berjaya.
Dalam mencapai kejayaan, tanamkan konsep inverse paranoid dalam hidup anda. Walaupun mungkin sebilangan kecil tidak akan menyokong kejayaan anda, tetapi penuhi fikiran anda bahawa seluruh dunia ingin melihat anda berjaya dan bersedia membantu anda mencapai kejayaan..!
( Oleh: Dr. Irfan Khairi.Majalah Solusi/PPb15048/2010(024506)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan