Selasa, 17 November 2009

4. Tidak Semuanya Indah apabila Berjaya...

Ada pepatah mengatakan bahawa, " Untuk berjaya adalah sukar." Tetapi, untuk mempertahankan kejayaan di puncak adalah jauh lebih sukar .
Kita sedia maklum bahawa pelbagai rintangan dan halangan akan kita tempuh dalam perjalanan mencapai apa sahaja kejayaan yang diimpikan. Ia adalah lumrah hidup untuk menembusi segala halangan dan rintangan sebelum mencapai sebarang kejayaan.
Namun, apabila sampai ke puncak kejayaan, bukan semuanya menjadi mudah. Ada kalanya ianya menjadi sukar untuk menahan posisi kita di puncak kejayaan.
Mungkin anda pernah mendengar kisah iaitu apabila seseorang itu berjaya nanti, ada pula pihak lain yang akan iri hati dan cuba menjatuhkan orang tersebut. Hendaknya, kita dijauhkan daripada musibah seperti ini. Namun hakikatnya, ada kalanya dan sering kali juga ia berlaku.
Apabila telah mencapai kejayaan, seseorang itu pasti akan menarik tumpuan orang ramai.Kebanyakkannya akan menyokong dan merestui kejayaannya. Tetapi, ada segelintir yang tidak senang dengan pencapaian tersebut.
Sejarah silam menunjukkan perkara sebegini memang berlaku.Beratus ribu rakyat India mencintai Gandhi, beribu juga yang membencinya. Beratus ribu rakyat menyukai seseorang pemerintah, beribu pula pembangkang yang membencinya. Seorang penyanyi yang mempunyai ribu peminat setia, pasti sahaja mempunyai beribu yang tidak menyukainya.
Apabila anda berjaya, pasti ada segelintir insan yang tidak senang dengan kejayaan anda. Di sinilah rintangan dan halangan yang lebih besar perlu anda tempuhi.
Namun berita baiknya adalah , dalam perjalanan mencapai kejayaan, pelbagai rintangan yang kita lalui akan kita harungi dengan semangat yang kuat. Ilmu dan pengalaman kita dalam harungi rintangan dan halangan ini akan menguatkan diri kita dalam menangani halangan dan rintangan apabila berjaya kelak. Sebab itu, perjalanan mencapai kejayaan adalah perjalanan memantapkan lagi diri kita untuk mencapai halangan yang menunggu di mercu kejayaan..
Bersyukur kiranya ada yang iri hati.......
Ada masanya kita akan bertemu golongan yang iri hati dengan kejayaan kita..Nasihat saya adalah bersyukurlah sekiranya ini terjadi. Beryukur ?? Kenapa ?
Pertama sekali, ketahuilah bahawa sekiranya ada orang iri hati dengan kita, ia adalah tanda-tanda awal bahawa kita sudah keluar daripada kepompong kesederhanaan .Di dunia, hanya 5% sahaja masyarakat yang berusaha keluar daripada kepompong kesederhanaan , 95% akan berasa selesa dengan keadaan sementara . Tiada masalah sekiranya anda, tetapi , yang menjadi masalah ialah golongan yang tidak selesa dengan mereka yang 5% tersebut.
Kedua, Tuhan Maha Adil. Lebih banyak dugaan yang perlu anda lalui, lebih banyak pahala dan pulangan yang anda akan terima sekiranya dapat menangi segala dugaan tersebut dengan penuh kesabaran. Segala dugaan adalah untuk anda memperkuatkan lagi rohani anda untuk dunia dan juga akhirat.
Survival Instint
Ketiga, ketahuilah bahawa manusia mempunyai sistem motivasi automatik yang dikenali sebagai survival instinct. Misalnya ialah sekiranya seseorang itu dicampakkan ke sebuah pulau yang tidak mempunyai penduduk, survival instinct individu itu akan berusaha mencari makanan daripada buah-buahan, ikan di laut , menadah air hujan untuk minuman serta membina tempat berteduh daripada ranting-ranting dan daun-daun. Kita sedia maklum keadaan ini melalui filem-filem di layar perak.
Konsep survival instint berkesan apabila keadaan kita menjadi tertekan. Apabila ada pihak yang iri hati dan cuba untuk menjatuhkan kejayaan kita, survival instint akan aktif dan fikiran kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menangani apa jua rintangan. Semangat kita akan menjadi lebih membara dalam mengharungi apa sahaja cabaran. Jiwa kita akan tersentuh dan memberi semangat untuk membuktikan kejayaan kita, sekali gus membuktikan kepada mereka yang ingin melihat kita gagal itu, bahawa tanggapan mereka sebenarnya salah.
Sebab itu juga, sering kita dengar kisah-kisah kejayaan mereka yang kaya raya bermula daripada kemiskinan. Mereka yang asalnya hidup dengan susah dan kemudian berusaha untuk memperbaiki diri dan keluar daripada kesusahan itu. Survival instint memainkan peranan dalam keadaan tertekan !!
Apabila anda dalam perjalanan untuk mencapai kejayaan cemerlang, ketahuilah bahawa rintangan-rintangan sebegini memang wujud. Bukan untuk menakut-nakutkan anda mengenai kejayaan, tetapi sekadar berpesan supaya anda bersedia menanganinya.
Inverse Paranoid
Kini, anda telah mengetahui keadaan ini. Terdapat satu konsep kejayaan yang sering digunakan oleh mereka yang berjaya iaitu inverse paranoid.
Paranoid bermaksud kita sering gelisah dan risau tentang keadaan sekeliling. Sebagai contoh, kita risau untuk berjaya oleh kerana takut nanti ada pula pihak yang akan menjatuhkan kita. Kita risau untuk berjaya kerana takut ada yang akan mengkhianati kita. Kita risau untuk berjaya kerana takut kita akan rebah dan jatuh semula.
Tetapi , konsep inverse paranoid pula bermaksud, untuk kita sering fikirkan bahawa orang ramai mahu kita berjaya, orang ramai akan membantu kita untuk berjaya dan orang ramai akan sedaya upaya menyokong kita untuk berjaya.
Dalam mencapai kejayaan, tanamkan konsep inverse paranoid dalam hidup anda. Walaupun mungkin sebilangan kecil tidak akan menyokong kejayaan anda, tetapi penuhi fikiran anda bahawa seluruh dunia ingin melihat anda berjaya dan bersedia membantu anda mencapai kejayaan..!
( Oleh: Dr. Irfan Khairi.Majalah Solusi/PPb15048/2010(024506)

Rabu, 11 November 2009

3. Senarai dan Bidang Tugas GPK HEM

1. Bidang Tugas
  • Menjalankan tugas-tugas Pengetua semasa ketiadaan Pengetua dan Guru Penolong Kanan.
  • Mengajar sebilangan waktu mengikut arahan Pengetua.
  • Bertanggungjawab kepada Pengetua dalam hal-hal disiplin, bimbingan dan kaunseling, keselamatan dan kebajikan murid, kesihatan, buku teks, biasiswa, perayaan sekolah, kantin sekolah, kebersihan dan keceriaan sekolah.
  • Membantu Pengetua menyelia dan menilai aktiviti seperti dalam 3 di atas.
  • Membantu Pengetua dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah.
2. Senarai Tugas
2.1 Pembangunan Diri Murid
2.1.1 Disiplin
  • Menentukan penrapan amalan-amalan dan nilai-nilai murni.
  • Memastikan peraturan-peraturan sekolah dikuatkuasakan.
  • Menjadi ketua guru penasihat Lembaga Pengawas Sekolah.
  • Mengambil tindakan yang sesuai terhadap kes-kes murid yang melanggar peraturan tatatertib dan salahlaku.
  • Menyelaras dan menyediakan rekod dan laporan disiplin murid.

2.1.2 Bimbingan dan Kaunseling

  • Merancang dan menyelaras pelaksanaan Bimbingan dan Kaunseling bersama-sama dengan guru Bimbingan dan Kaunseling.
  • Menyelaras dan menyediakan rekod dan kaunseling murid serta menyediakan laporan yang diperlukan.
  • Mengadakan kursus motivasi dan kemahiran pelajar.
  • Merancang dan melaksanakan program dan orientasi bagi murid-murid baru.

2.1.3 Program Pelindungan Murid

  • Merancang dan menyelaras program mencegah penyalahgunaan dadah dan program lain di peringkat sekolah.
  • Memastikan langkah-langkah keselamatan murid semasa berada di sekolah dilaksanakan.

2.1.4 Kesihatan

  • Mengurus kemudahan rawatan murid.
  • Memastikan program-program kesihatan murid dijalankan dengan sempurna.
  • Menguruskan kad 001/002, Kad Tenaga Asas dan lain-lain.
  • Menyelaras penyeliaan kantin sekolah.
  • Menyelaras aktiviti kesihatan murid.

2.1.5 Skim Pinjaman Buku Teks

  • Menyelaras pengeluaran, pengambilan, pengagihan dan hapuskira buku teks.
  • Menguruskan kutipan data, mengawal buku stok dan bilik SPBT.
  • Menyediakan anggaran belanjawan bagi pengurusan skim pinjaman buku teks.

2.1.6 Biasiswa dan Bantuan

  • Menyelenggarakan perakuan-perakauan biasiswa dan bantuan.
  • Mengemaskini rekod biasiswa dan bantuan.
  • Menguruskan tuntutan dan bayaran biasiswa murid.

2.1.7 Kebersihan, Keceriaan dan Keindahan Sekolah

  • Membantu dalam merancang dan menyelia program bagi kebersihan, keceriaan dan keindahan sekolah.

3. Pengurusan

  • Mengurus dan mengemaskini buku rekod dan pendaftaran murid.
  • Menguruskan kemasukan dan penempatan murid.
  • Menguruskan pertukaran murid.
  • Menyemak buku kedatangan harian murid.
  • Menguruskan surat akuan,sijil-sijil, pengesahan dan pengedaran sijil berhenti sekolah.
  • Menyemak kad 001/002 dan kad tenaga asas.
  • Menyediakan anggaran belanjawan sekolah.
  • Membantu merancang Takwim Sekolah.

4. Pembangunan Organisasi

  • Mewujudkan hubungan dua hala sekolah dengan ibu bapa / masyarakat.
  • Mengadakan kursus/latihan untuk guru dan staf sokongan.

5. Pembangunan Kendiri

  • Mempertingkatkan Budaya Membaca dan Budaya Ilmu.
  • Menghadiri kursus, seminar dan bengkel.
  • Menjalankan kajian bagi kecemerlangan pengurusan sekolah (R&D).
  • Menghasilkan artikal-artikal bidang ikhtisas dan pengurusan.
  • Memberi sumbangan kepakaran dalam bidang pendidikan kepada yang memerlukannya.
  • Melibatkan didi secara aktif dalam persatuan yang berkaitan dengan profesion keguruan.

6. Tugas-tugas lain

  • Menganggotai Jawatankuasa-jawatankuasa yang diluluskan oleh Pengetua dari semasa ke semasa.
  • Melaksanakan arahan-arahan dan tugasan-tugasan yang diberikan oleh Pengetua dari semasa ke semasa.

(Sumber:Panduan Pengurusan Untuk Guru dan Staf Sokongan Sekolah Menengah Oleh Pn. Hajah Khuzaimah Bt Hj Sulaiman )

Ahad, 8 November 2009

1. Pendahuluan

Alhamdullillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izinNya , dapat saya membina blog ini..Untuk pengetahuan semua pembaca , ini adalah blog kedua saya. Blog pertama saya bolehlah anda mengklik link ini. Baru-baru ini, saya telah menerima tawaran kenaikan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) di SMK Taman Indah , Tampin. Saya menerimanya dengan penuh rasa rendah diri dan terharu. Masakan tidak, begitu tinggi sekali harapan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan yang diletakkan dibahu saya. Ini adalah satu cabaran bagi saya. Insyaallah , saya berazam akan buat yang terbaik untuk diri saya , warga SMKTI dan bidang pendidikan ini. Jadi atas maksud tu, saya terpanggil untuk membina blog ini sebagai langkah pertama saya menyahut cabaran itu. InsyaAllah, dalam blog ini saya akan memaparkan rencana-rencana , refleksi/diari saya dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bawah Unit HEM sekolah ini.
 
BARISAN PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN SMK TI 2013